Assalamualaikumwarahmatullah...

Monday, 14 November 2011

Ada Apa Dengan Hati


Monolog Hati 2

 Percikan air membasahi pipi.Dia membiarkan pipinya sejuk dijamah dingin air terjun.Subhanallah damai sungguh berada di puncak.Di temani suara alam unggas tingkah-meningkah.Pandangan matanya segar melihat kehijauan ciptaan Allah.Ciptaan yang tiada tandingannya.Kejadian alam yang penuh dengan kesempurnaan dan keindahan buat titipan bagi insan yang ingin merenung dan berfikir.

Matanya merenung tajam tujahan air terjun yang deras menghasilkan percikan yang kuat.Dia yang duduk di tepian turut terasa tempiasnya.Dia melihat batu-batan yang ada di situ.Ada yang besar dan ada yang kecil.Pelbagai warna dan corak yang menarik.

Fikirannya tiba-tiba terfikir tentang hati.Melihat tanah dan batuan di situ menggamit ingatannya tentang soal itu.Hati,seketul daging yang dibekalkan Allah kepada manusia sebagai raja kepada semua anggota.Tempat letaknya iman dan juga takwa.Tempat bersarang cinta Ilahi.Hati yang tertarik kepada Allah akan selalu ingat kepada-Nya.Hati yang dipenuhi dengan noda kan tertarik pada bisikan syaitan.Hati yang mati tertutup untuk ingat pada-Nya.

Hati yang menerima cahaya dan petunjuk Ilahi umpama tanh yang lembut dan mampu menyerap air.Tanah yang boleh menakung air,dapat memberi manfaat kepada orang lain di sekitarnya.Namun tanah yang keras tidak mampu menyerap cahaya hidayah.Ia umpama hati yang sengaja ditutup daripada kebenaran iaitu hati orang kafir yang keras seperti batu,malahan lebih keras daripada itu.

Dia tidak ingin hatinya mati kerana dia tahu insan begitu umpama memiliki jasad yang tiada roh.Jasad yang tiada roh sudah tiada ertinya lagi.Hatinya perlu dipugar,digilap dan dibajai dengan cahaya iman.Cahaya iman penyuluh hati yang mati.

Sunday, 13 November 2011

Memetik Kesetiaan Di Sebalik Kelalaian


 Monolog Hati...1

Dari puncak gunung pandangan matanya melebar ke segenap penjuru dataran yang luas terbentang hasil ciptaan Yang Maha Kuasa.Dataran yang kaya dengan flora dan fauna anugerah Tuhan.Rongga dadanya segar menghirup udara dari puncak.

Di sudut itu dia memikirkan tentang agama yang disayanginya.Agama yang dianutinya.Memiliki penganut tetapi ramai yang tidak setia.Ramai telah lupa.Ramai mengaku masih beriman tetapi terpesong daripada amalan.Jika kita punya teman kemudian berlalu pergi dan tidak setia lagi,bagaimanakah perasaan ini?pasti hati akan bersalut perasaan marah dan sedih.Sedih memikirkan teman tidak setia lagi.

Namun andai kita lupa pada islam,Allah tidak sesekali akan rugi dan bersedih kerana janji Allah itu pasti.Islam tetap akan tertegak suatu hari nanti biarpun kini mata ini tidak akan sempat melihat kemilau cahayanya menerangi seluruh alam.Biarpun kini cita-cita itu terasa sukar untuk digapai.Pasti Allah menggantikan golongan yang lalai ini dengan golongan yang memiliki hati yang jitu untuk bangkit membawa obor islam.Golongan ini mencintai Allah dan Allah juga mencintai mereka.


Islam yang indah akan dapat diamalkan sepenuhnya.Dunia ini akan dibanjiri kasih sayang kepada Pencipta dan sesama makhluk.Tiada yang menindas dan tiada yang tertindas.Dunia akan dilimpahi rahmat berpanjangan.Tertegaknya hukum Allah menjamin  kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat kerana Dia yang mencipta kita dan mengatur sistem hidup setiap alam maya.

Saat itu terpadamlah api marak kejahilan yang meratah minda umat islam.Akan musnahlah kata-kata sinis yang memperlekehkan islam.Tiada lagi kata nista menghina agama Allah ini.Seluruh alam akan bersatu untuk berlindung di bawah redup kasihNya. 

Saturday, 12 November 2011

Doakan Yang Terbaik


Doa merupakan tanda pergantungan,pengharapan dan permohonan seorang hamba kepada Allah s.w.t. Dalam Islam ,doa dipohon hanya kepada Allah kerana Dia-lah Yang Maha Agung, tiada yang lain yang boleh menerima apa yang dipohon,dihajat dan didambakan.

Doa banyak disebut dalam al-quran dan masing2 mempunyai makna yang tertentu.Menurut ibn Manzur,doa bermaksud 'memohon pertolongan dan perlindungan'(al-istighathah).

Doa juga simbolik kepada jalinan yang hebat menghubungkan hamba dengan Tuhan.Itulah tanda pengabdian diri yang mutlak dan pengiktirafan hamba.Dalam ayat ke-5 surah al-Fatihah,Allah s.w.t berfirman yang bermaksud "Engkau -lah sahaja yang kami sembah dan kepada Engkau-lah sahaja kami memohon pertolongan."

Dengan itu, sungguh tidak layak bagi kita untuk memohon kepada yang lain drpd Allah s.w.t kerana perbuatan meminta atau berdoa selain drpd Allah itu adalah syirik menyekutukan Allah.Juga,elakkan berdoa kpd sesuatu yang mungkar dan maksiat yang terkeluar drpd syariat islam.

Dingatkan juga, doa merupakan tanda ibadah dan pengabdian diri kpd Allah s.w.t kerana memohon kpd Allah adalah pengiktirafan bahawa hanya Allah Yang Maha Berkuasa memenuhi segala hajat manusia.

Namun begitu memohon sesuatu perkara itu perlu diiringi dengan usaha.Dalam fitrah kejadian dunia dan isinya serta hubungan sesama makhluk menghendaki agar adanya usaha disamping berdoa untuk memohon sesuatu perkara itu menjadi kenyataan.

Kesimpulannya,permohonan kpd Allah hendaklah disertai dengan ikhtiar atau usaha.Tanpanya permohonan itu hanyalah impian yang tidak akan membuahkan hasil.